Setelah sekian ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia, beberapa syarikat konsesi lebuh raya kini sedang membangunkan sistem tol tanpa palang mereka sendiri, dengan PLUS Expressways Berhad menerajui inisiatif ini. Langkah ini diambil bagi mengelakkan sebarang salah guna serta eksploitasi keuntungan ketika pelaksanaannya.
Menurut laporan TheEdge, PLUS merancang untuk memulakan ujian rintis bagi sistem tol tanpa palang mereka pada April nanti. Bagaimanapun, sistem akhir yang akan digunakan masih belum dimuktamadkan. PLUS juga memiliki kelebihan melalui anak syarikatnya, Teras Teknologi Sdn Bhd, yang kini mengendalikan sistem pengumpulan tol elektronik bagi kebanyakan syarikat konsesi lebuh raya.
Selain itu, syarikat konsesi lebuh raya turut bercadang untuk mengintegrasikan sistem ini dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Dengan integrasi ini, pemandu yang mempunyai tol tertunggak perlu menyelesaikan bayaran mereka terlebih dahulu sebelum dapat memperbaharui cukai jalan.
Dalam perkembangan berkaitan, Touch ‘n Go eWallet telah menguji ciri baharu yang membolehkan pengguna melalui tol walaupun baki eWallet rendah. Namun, bayaran tertangguh perlu diselesaikan dalam tempoh 24 jam, dengan had maksimum RM80 sehari.
Sebelum ini, kerajaan menyasarkan pelaksanaan tol tanpa palang bermula pada 2025. Namun, dengan pelbagai perkembangan terbaru, masih belum dapat dipastikan sama ada sistem ini akan dilaksanakan sepenuhnya tahun ini atau ditangguhkan ke tarikh yang lain.